Thursday, January 15, 2009
Sambungan Kisah Mek (Part IV)
Aku tidak tahu bagaimana harus aku sambung Kisah Mek (Part IV)ini. Aku bukannya pandai merungkai kata-kata, yang mampu membuat orang yang membacanya benar-benar terpesona....tapi aku harus sambung juga kerana janjiku pada Salma dan untuk didedikasikan buat kami 4 beradik iaitu cucu-cucu Mek ini.
Semalam aku mendapat khabar Mek yang sememangnya tidak berapa sihat tu, sakit lagi. Aku cuba sedapkan hatiku...sakit orang tua..sakit yang di penghujung usia. Dan itulah juga yang pasti akan aku lalui nanti bila umurku sudah ditelan masa, seandainya aku masih lagi bernyawa. Tapi mungkin kalau aku sakit pun tidak akan sama dengan sakit yang dideritai oleh Mek sekarang. Aku bukannya orang yang pernah bekerja kuat macam Mek. Bila aku renung balik..bila aku kenang balik hidup Mek sebenarnya penuh dengan kesusahan dan keperitan. Sedari muda, Mek sudah lali dengan kerja-kerja kasar dan berat. Aku ingat lagi, waktu di kampung dulu, pagi-pagi lagi, waktu semua orang lena dibuai mimpi, Mek sudah bangun dan pergi menoreh getah. Pokok getahlah teman setia Mek dari muda hingga ke tua kerana Mek bukannya orang yang berpendidikan. Dan pokok getah itulah sebagai nadi kehidupannya, temannya yang setia saban masa. Waktu petang pula Mek akan pergi ke kebunnya. Masih lagi terasa sedapnya buah tembikai (kami panggil timun cina) yang kecil-kecil tapi telah masak yang ditanam oleh Mek dikebunnya. Mek juga tanam ubi kemili (ubi kegemaran abang). Dan kalau musim orang menanam padi, mek juga tak akan ketinggalan, begitu juga bila tiba musim tembakau. Mek, dengan kudrat seorang perempuan akan melakukan kerja-kerja tersebut seorang diri, demi mencari sesuap nasi. Penatnya Mek kerja, tak mengira masa, tak mengira ketika. Entahlah..mungkin sebab Mek sudah biasa keseorangan, dia tak anggap kerja-kerja tersebut beban baginya, tetapi sebagai penyambung nyawa hingga hujung usia. Setiap hari hingga senja melabuhkan tirainya, itulah rutin hidup Mek dan Mek akan terlena kepenatan bertemankan pelita ayan. Kasihan Mek, tidur berseorangan dalam kegelapan malam setelah waktu siang yang memenatkan. (Mek tetap akan menggunakan pelita minyak tanah, walaupun rumah nya ada bekalan elektrik). Dan aku kagum, betapa Mek..mampu mengerjakan semua itu bersendirian.
Aku rindu...Aku rindu pada Mek di waktu sihatnya...waktu kuatnya..waktu kami 3 beradik boleh mengusik dan bergurau dengannya, walaupun aku tahu, masa tersebut tidak akan kembali lagi.
Sekarang Mek sakit...Mek tidak sekuat itu lagi. Hendak bangun dan berjalan pun sudah tidak mampu lagi. Apatah lagi hendak menjenguk kebunnya. Kini tidak ada lagi kemanisan "timun cina", keenakan ubi kemili dan bau getah sekerap serta bunyi mersik daun-daun padi ditiup angin. Semuanya telah terhenti lantaran keuzuran Mek. Harapnya sakit Mek tidak berpanjangan dan Mak akan menjaganya sebaik mungkin selaku anak tunggal Mek.........sehingga ternoktah di sini..banyak kisah Mek yang belum selesai dipaparkan lagi dan lagi.....!@@#$%^&
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
ya really, mmg rasa rindu pada suasana tu..bila ingat mek..sedih rasanya..isn't easy to live alone from young untill her age now?..
Post a Comment